Adab-adab dan hak-hak jiran
ADAB-ADAB DAN HAK-HAK JIRAN
1. Sentiasa mewujudkan suasana
kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat-menghormati antara satu sama
lain. Antara caranya dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim
atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Sentiasa
bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan, adat resam, budaya, cara
hidup dan lain-lain lagi.
2. Tidak menyakiti mereka samada
melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan
tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan
sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan
ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.
Sehubungan dengan perkara ini
Rasulullah SAW pernah bersabda; “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak
beriman, demi Allah tidak beriman. Sahabat bertanya: “Siapakah (yang tidak
beriman itu) ya Rasulullah?. Rasulullah SAW menjawab : Orang yang menyebabkan
jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim) Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah
SAW bersabda; “ Tidak masuk syurga barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman
(selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)
3. Sentiasa menuturkan kata-kata
yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.
4. Sentiasa merendahkan diri dan
berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takabbur.
5. Sentiasa bersedia memberikan
sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan.
6. Menyintai mereka seperti
mana kita menyintai diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah
sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi
tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan
perkara-perkara yang mereka tidak sukai.
7. Sentiasa mengambil berat dan
bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang mereka hadap,i sama ada
yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga,
kejiwaan, kesihatan, pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan sebagainya.
Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya
melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab.
8. Tidak memandang rendah dan saling
menghina sesama jiran, sebaliknya hendaklah sentiasa hormat menghormati dan
harga-menghargai, termasuklah menghargai dan berterima kasih terhadap apa jua
pemberian, khidmat dan pertolongan yang diberikan.
9. Mengutamakan jiran yang terdekat
rumahnya dengan rumah kita. Penetapan jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang
berada di sekeliling rumah kira, sama ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang.
Terdapat tiga kategori jiran. Pertama, jiran muslim yang ada hubungan
kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan
seorang Muslim. Kedua, jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan
hak seorang Muslim dan Ketiga Jiran Bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu
hak jiran.
10. Sentiasa berusaha mewujudkan
suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran.
Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara
rukun-rukun kebahgiaan ialah ‘jiran yang baik’.
11. Sentiasa memelihara diri agar
tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan serta mencemar maruah dan diri
jiran, termasuklah terhadap isterinya, anak-anaknya, harta bendanya dan
lain-lain lagi.
12. Elakkan sikap terlalu suka
mengambil tahu hal ehwal peribadi dan keluarganya, kecuali setelah mereka sendiri
mengadu untuk mendapatkan bantuan kita untuk menyelesaikannya.
13. Bantulah mereka apabila mereka
ditimpa kesusahan dan mala petaka, agar hati mereka menjadi tenang dan
tenteram.
14. Rasakan kesusahan jiran seperti
kesusahan yang kita tanggung sendiri dan zahirkan kegembiraan ketika mereka
bergembira, sama ada ketika mendapat rumah baru, perabut baru, kelahiran anak
baru, mendapat menantu dan sebagainya.
15. Elakkan dari memerhatikan
barangan atau apa sahaja yang dibeli atau yang dibawa pulang ke rumahnya.
16. Tidak cuai untuk menyeru mereka
kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dengan cara yang paling berhikmah.
Comments
Post a Comment